Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh dilarang masuk ke Myanmar dan disenarai hitam oleh pihak kerajaan tesebut. Selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon pada 22 Jun lalu, beliau terus diarahkan pulang oleh pihak keselamatan negara tersebut dengan segera. Ini adalah gara-gara beliau telah melakonkan watak pejuang demokrasi Myanmar iaitu ketua pembangkang Aung San Suu Kyi dalam sebuah filem ”The Lady”.
Michelle Yeoh 48 tahun, artis kelahiran Malaysia terkenal dengan filem James Bond “Tomorrow Never Dies” dengan memegang watak sebagai perisik daripada China yang diterbitkan pada tahun 1997. Pada bulan Disember yang lepas, Michelle Yeoh bertemu Aung San Suu Kyi di kediamannya di Yangon selepas baru saja tamat penggambaran di Thailand bagi filem mengenai pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu.
Aung San Suu Kyi
Aung San Suu Kyi dibebaskan November lalu selepas tujuh tahun berada di bawah tahanan dalam rumah. Beliau, yang genap berumur 66 tahun bulan ini, telah mendapat pengiktirafan dunia kerana giat melancarkan penentangan secara aman walaupun ditindas oleh junta tentera Myanmar.
Pada 1990, beliau menerajui Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang menang dalam pilihan raya umum negara itu. Namun, kemenangan itu tidak diiktiraf pemimpin junta dan partinya tidak dibenarkan membentuk pemerintah.
Aung San Suu Kyi memboikot pilihan raya umum Myanmar tahun lalu selepas mendakwa proses itu tidak dijalankan secara adil. Semasa pilihanraya tersebut, Rejim enggan membenarkan pemantau antarabangsa atau wartawan ke Myanmar untuk membuat liputan berita.
Sumber CNN.



